"Kurang-kurangkanlah daripada suka mengkritik orang, kerana kita kadang-kadang tidak sedar makhluk yang kita kritik diciptakan oleh ALLAH yang maha bijaksana, secara tidak langsung kita mengkritik ciptaan-NYA.Renungkan."

Perkahwinan 'SENGKETA', Angkara siapa?


Perkahwinan Sengketa





Perkahwinan merupakan salah satu jalan utama mengelak kepada berlakunya penzinaan. Alhamdulillah kelmarin, saya dan keluarga pergi menghadiri majlis rewang dan sambutan perkahwinan yang diadakan pada 1 September 2012. 

Kehadiran berhajat untuk meraikan majlis perkahwinan tersebut. Namun ada beberapa perkara yang ingin saya perbetulkan. Saya sedar pengalaman mengendalikan majlis perkahwinan terlalu sedikit berbanding orang yang lebih berusia daripada saya. 

Tetapi saya sebagai orang muda agak segan untuk menegur kekurangan dalam majlis tersebut. Saya berharap kalian yang terlibat dalam apa-apa majlis perkahwinan mengambil berat sedikit-sebanyak input-input yang ingin saya sampaikan.  
Apa saranan Rasulullah SAW tentang majlis perkahwinan?

Saya bawakan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, daripada Aisyah r.ha:

إِنَّ أَعْظَمَ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مَؤُوْنَةً

“Sesungguhnya perkahwinan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah belanjanya(mas kahwinnya).

Manakala dalam riwayat abu daud dalam kitab nikah; no. 2117 (hakim mensahihkannya) seperti berikut:
خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik perkahwinan adalah yang paling mudah

Kesinambungan daripada hadis di atas adalah keberkahan dalam hidup berumah tangga. Berapa ramai orang yang bermegah dalam walimatul urus berakhir dengan perpisahan dan masalah rumah tangga. 

Jika pada mula kita tidak menilai mengikut prinsip islam untuk mengurus sebuah majlis perkahwinan, bagaimana kita hendak menerapkan cahaya islam dalam kehidupan. 
Cerita zaman Nabi SAW.
Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. terlihat kesan-kesan warna kuning di baju Abdur Rahman bin Auf r.a (menunjukkan beliau baru berkahwin),
Baginda s.a.w. bertanya: “Apakah ini?”. 


Beliau pun menjawab, aku telah berkahwin dengan seorang wanita dengan mas kahwinnya timbangan emas seberat biji kurma. 

Seraya itu, Rasulullah s.a.w. mendoakan beliau, “Semoga Allah s.w.t. memberkati kamu. Buatlah kenduri, walaupun dengan menyembelih seekor kambing”.[1]

Seorang yang bergelar ‘billionaire’ pada zaman Rasulullah s.a.w. didoakan oleh kekasih Allah s.w.t. dengan keberkatan. Menunjukkan keberkatan ialah kebaikan yang banyak dalam sebuah perkahwinan walaupun mas kahwinnya hanya timbangan emas sebijik kurma. 

Buat apa kita nak gah supaya mendapat pujian manusia sedangkan kita yang merana di penghujungnya. Pelbagai perkara kita buat untuk orang lihat dan puji, namun itu semua hanya seketika. 


Buat apalah mendapat pujian manusia tapi kejian daripada Allah SWT. Moga Allah SWT merahmati kita semua. 

Nasihat daripada hamba yang lemah!

Buatlah majlis perkahwinan yang dianggap paling senang urusannya. Sesungguhnya sifat Rasulullah SAW sepertimana dikhabarkan oleh Aishah r.ha: 

“Sesungguhnya Rasulullah Saw Apabila Diberi Dua Pilihan Maka Baginda Saw Akan Memilih Yang Paling Senang, Selagimana Ia Bukan Benda Yang Mendatangkan Dosa”.

Pakaian pengantin yang agak keterlaluan sedikit-sebanyak mencacatkan kelancaran majlis. Pakaian pengantin yang ‘seksa’ seakan-akan berkemban merupakan satu imej yang jelek untuk dipertontonkan. 

Saya tidak salahkan pengantin seluruhnya, tetapi ibu bapa yang ‘kurang’ taat kepada Allah SWT menjadi asbab musabbab anak menjadi begitu. Apabila solat tidak menjadi tiang seri kehidupan setiap insan, bagaimsaya insan tersebut dapat menyerikan kehidupannya. 

Jika permulaan perkahwinan disertakan dengan kemaksiatan, bagaimana kebahagian boleh terjamin. Allah SWT Maha Adil, Dia melihat hambanya daripada segenap rupa. Jika pola hidup kita sentiasa ke arah kemaksiatan, persoalannya bilakah keberkahan itu akan datang. 

Permulaan bukanlah menjadi penentu pengakhiran hidup.



Namun jikalau tidak diubah sedikit demi sedikit, kemaksiatan itu akan menjadi sebati dan tepu dalam kehidupan. Di dalam Islam walimah (kenduri) itu digalakkan. Hukum menghadirinya pula adalah wajib melainkan beberapa perkara. 

Salah satunya adalah tiadanya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Justeru, saya menasihatkan diri saya terutamanya, dan kalian semua umumnya, supaya dibuat pengasing balai lelaki dan perempuan. 

            Akhir daripada saya, semoga kita dirahmati dengan upacara yang sederhsaya. Kerja keredhaan Allah SWT bukan pujian manusia. Wallahua’lam.




[1] Dr. Mustafha Bugho, al-Khin, fiqh al-Manhaji.


Mahukan bantuan! Apa masalah paling susah diselesaikan?