"Kurang-kurangkanlah daripada suka mengkritik orang, kerana kita kadang-kadang tidak sedar makhluk yang kita kritik diciptakan oleh ALLAH yang maha bijaksana, secara tidak langsung kita mengkritik ciptaan-NYA.Renungkan."

Prinsip WASATHIYAH dalam kehidupan


Salam rakan dan taulan yang disayangi. Setelah sekian lama menyepi  dengan dunia blog. Sempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. pada bulan yang mulia ini, saya ingin mengajak rakan-rakan supaya sentiasa berselawat kepada Utusan terakhir ALLAH S.W.T. di muka bumi ini. Pejam celik pejam celik hari ini sudah 27 Rabiul awwal 1433, mungkin sebilangan diantara kita yang kurang mengambil kisah tentang tahun hijrah, malah ada juga sebilangan yang lain melupakan terus ataupun tidak tahu adanya kelendar hijrah pada masa kini.

Alhamdulillah tuan-tuan, puan-puan, adik,abang dan kakak sekalian kita masih lagi diberi kesempatan masa dan tenaga daripada ALLAH S.W.T. untuk kita penuhi impian kita dan melaksanakan tanggungjawab kita dimuka bumi.


Pada 18-19 Februari 2012 / 25-26 Rabiul awwal 1433 yang lepas saya telah menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah yang diadakan di PWTC(Putra World Trade Centre). Konvensyen ini merupakan  perkumpulan ulama’-ulama’ dalam bidang masing-masing yang terdiri daripada Ustaz Dr. Zulkifli Al-Bakri, Ustaz Dr. Zahazan, Ustaz Dr. Zaharudin dan ramai lagi. Seminar ini berjalan bermula 9.00 pagi sehingga 10.00 malam.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk menerangkan konsep wasathiyyah(kesederhanaan) dalam mengamalkan Islam dan menyebarkannya. Antara isu-isu panas yang diperbincangkan adalah berkaitan akidah, syariah, akhlak, tazkiyatun Nafs, politik, muamalat, gaya hidup dan banyak lagi.

ISU SEMASA & PENYELESAIAN

Setibanya kami di sana, kami telah diberi 2 buah buku yang bertajuk Manhaj Fiqah Wasathiy dan Piagam Kefahaman Islam. Isu pertama dibangkitkan adalah berkaitan akidah umat Islam. Secara ringkasnya majoriti isu ini terbahagi kepada dua kelompok besar iaitu Salafi dan Khalafi. Salafi adalah kelompok yang lebih banyak mengambil pandangan ulama’-ulama’ terdahulu sehingga kurun ketiga hijrah. Manakala Khalafi adalah kelompok yang lebih banyak mengambil pandangan ulama selepas kurun ketiga. Ramai dikalangan pengikut mereka menyangka bahawa apa yang diperdebatkan adalah masalah usul, walhal kebanyakkannya

masalah furu’ Contoh bab ayat mutashabbihat seperti nisbah ‘tangan ALLAH’ di dalam al-quran. Golongan Khalafi menyatakan bahawa ‘tangan’ itu bermaksud ‘kuasa atau kudrat’ ALLAH ke atas hamba-NYA dengan takwilan. Manakala Salafi menyatakan bahawa ‘tangan ALLAH’ itu adalah ‘tangan ALLAH’ tapi jangan tanyalah bentuk ‘tangan ALLAH’ itu macamana. Contoh kita duduk atas kerusi dengan cara kita sebagai hamba, ALLAH duduk atas ‘kursi’ dengan cara ALLAH S.W.T.

Jadi apa yang diambil daripada pendekatan wasathiyyah ini adalah kita seharusnya mendengar kedua-dua belah pihak. Adalah sesuatu yang tidak adil jika keputusan diambil berdasarkan keterangan satu pihak sahaja. Di sini saya ingin mengajak rakan-rakan berlapang dadalah, mudah-mudah ALLAH berkati setiap apa yang kita amalkan dan sebarkan.

Ustaz Syed Hisyam al-Idrus pernah bertanya kepada gurunya dari Yaman tentang situasi di Malaysia. Yang mana di Malaysia banyaknya kelompok-kelompok yang memperjuangkan Islam tetapi tidak ‘sebulu’ pendapat mereka. Lalu Sheikh itu menjawab dengan perkataan yang mudah dan simple,

“Wahai anakku, ketahuilah bahawa mereka itu akan jumpa satu titik pertemuan jika di dalam hati mereka ada sifat IKHLAS dalam menyebarkan dakwah”.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi, eloklah apa kiranya kita sentiasa bersangka baik. Kerana kata pujangga ada menyatakan orang yang tersalah sangka baik itu lebih baik jika tersalah sangka buruk. Buruk mana pun kawan kita dia tetap kawan kita. Buruk mana pun bangsa kita mereka tetap bangsa kita.
Kurangkan mengumpat antara satu sama lain atas kesilapan kawan kita. Jangan cepat menuduh itu dan ini yang mungkin akan mendatangkan sifat dengki dan permusuhan antara kita. Dimana masalah perpecahan tidak akan mampu diselesaikan sampai bila-bila.

Kita seharusnya mencari kebaikan seseorang bukan cuba mencari mana yang salah. Hebat mana pun kita dalam sesuatu ilmu kita tidak akan lari daripada membuat kesilapan. Jangan disebabkan kesilapan yang satu kebaikan yang seribu dilupakan. Misalnya seorang rakan saya telah dituduh meniru dalam peperiksaan, adakah wajar bagi kita menghebah-hebahkan cerita yang kita sendiri belum mendapat keterangan daripada beliau. Fikir-fikirkanlah wahai teman, dah baik sangat ke kita ini hendak menghebahkan ‘pekong’ rakan sendiri. Bukankah itu akan menyebabkan kita semakin renggang dengan rakan itu. Tolonglah hentikan mengumpat, mengutuk, mencela, memfitnah daripada sekarang. Kerana saya bimbang perkara sebegini akan menjadi kebiasaan generasi, seterusnya diperingkat kepimpinan pun akan terikut-ikut dengan gejala tidak sihat ini.

Kita dok berdebat dengan intisari ayat mutasyabihat walhal intisari ayat muhkamat belum kita selesaikan. Contohnya menyumpat, riba, derhaka, solat, puasa dan sebagainya. Alhamdulillah banyak yang saya dapat dalam Konvensyen ini. Seperti mana yang diberitahu Konvensyen Fiqh Ummah 2 akan diadakan juga dengan keizinan ALLAH. Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita baik, sudah banyak bukukah yang kita sudah baca sepanjang hayat ini. Kalau setakat separuh-separuh,  baik kita ikut sahaja kata ulama’ yang jauh lebih berilmu dan berpengalaman dalam mengeluarkan hujah.

MASALAH DAKWAH SEMASA

Satu benda yang sering kita perhatikan sebilangan masyarakat gemar mengeluarkan komen negatif. Komen itu boleh,  tetapi biar berhemah dan membawa kepada positif. Sepertimana ALLAH berfirman di dalam Al-quran Surah an-Nahl ayat 125.

“Serulah(Dakwah atau tegur) ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik..”

 Gunakanlah akal yang diberi ALLAH untuk penyelesaian bukan hanya mencari kesalahan. Tidak guna digelar mahasiswa, guru, ustaz, doktor, sheikh, jika kita hanya mencari kesalahan negatif tanpa memikirkan perkara positif yang boleh menyelesaikannya.

Maaf kepada rakan-rakan yang terasa dengan ayat yang saya gunakan di dalam blog ini. Satu benda yang pasti saya menulis adalah umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. Medium ini juga saya gunakan untuk menegur sebilangan rakan yang pada pengamatan saya perlu diubah pemikiran mereka dan sikap mereka. Saya bukan tidak mahu tegur depan-depan tetapi memikirkan di tempat awam yang boleh memalukan personality  seseorang. Atau mungkin lebih teruk boleh terurai nilai persahabatan jika pendapat mereka tidak diterima. Dakwah itu berjaya, jika mad’u(orang yang didakwah) terasa dihargai dan bersenang hati menerima dakwah. Bukan dengan paksaan atau teguran melampau yang kebanyakkan manusia tidak boleh menerima. Malah lebih teruk jika kita berdakwah menyebabkan seseorang itu lebih jauh daripada Islam. Nauzubillah.

Akhir kata, saya bukan hendak tunjuk hebat menyatakan saya sahaja yang betul, kalian salah. Tetapi kita sama-sama saling membetulkan diri masing-masing. Mungkin ada yang saya cakap itu salah, maka tegurlah saya dengan cara yang berhikmah bukan gelojoh di tempat awam. Malah jika berhadapan dengan seorang guru pun kita makruh bertanya sesuatu yang boleh menyukarkan kita untuk fahami, lebih teruk lagi jika bertanya semata-mata untuk menguji seorang guru tentang kredibilitinya sebagai ilmuan. Marilah ambil pendekatan wasathiyyah daripada segala aspek. Kerana pada pandangan saya ini adalah salah satu cara kita menyatukan umat islam yang semakin berpecah antara satu dengan yang lain. Insyallah. Sepuluh jari saya takup memohon maaf atas keterlanjuran kata yang mungkin menyakitkan hati anda wahai teman yang disayangi. Mohon ikatan persahabatan kita berkekalan. Amin. Wallahu’alam.

2 ulasan:

  1. Balasan
    1. afwan moga kita diberi keringanan utk mengamalkan apa yg kita tahu... insyallah

      Padam

Kongsi idea murni anda di sini :)

Mahukan bantuan! Apa masalah paling susah diselesaikan?