"Kurang-kurangkanlah daripada suka mengkritik orang, kerana kita kadang-kadang tidak sedar makhluk yang kita kritik diciptakan oleh ALLAH yang maha bijaksana, secara tidak langsung kita mengkritik ciptaan-NYA.Renungkan."

Kita kena UBAH adab kita...Jom!!!



Salam rakan dan taulan yang dikasihi dan dihormati. Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH s.w.t. kerana masih lagi diberi ruang dan kehidupan untuk menulis coretan artikel. Syukur juga dirafa’kan kepada ALLAH s.w.t. kerana memberi kembali semangat menulis di blog ini setelah lama menyepi. Rentetan daripada kelas tasawuf pada nian pagi hari tadi, saya terpanggil untuk berkongsikan kepadas kalian rakan blogger berkaitai “Adab seorang pelajar”.
Saban tahun berlalu, kita tetap bersikap yang sama selagi mana kita tidak mahu mengubahnya. Walau hebat mana tokoh motivator ia tidak mampu mengubah seseorang jika kesedaran hanya seketika. Biar cakap berapi dan berasap, belum tentu dapat membakar semangat. Pokok semua masalah ini adalah kembali kepada adab kita terhadap orang yang disekeliling. Tinggi mana bukit kita mendaki, luas mana hutan kita terokai, besar mana lautan kita renangai, langit mana yang tinggi kita tembusi, jika adab diketepi usah jadi manusia sejati, sia-sia belajar IPT, sia-sia berilmu tinggi, jika hidup tidak diberkati.

Itulah senario yang berlaku masa kini, kadang-kadang apa yang dikejar itu bagus tapi tanpa persiapan yang lengkap kita mudah tergelincir ditepi jalan, ibarat belajar, belajar itu bagus untuk dapat ilmu, tapi jika persiapan kerohanian diri tidak diambil, takut-takut ilmu itu memudaratkan kita. Contoh senang, kita belajar, kita berjaya,kita  kerja, tapi dalam masa yang kita mengecilkan hati guru semasa kita belajar. Kesannya kita akan merasai semasa di alam pekerjaan. Gaji yang banyak terasa sikit, rumah yang besar terasa sempit, bagai hidup dihimpit-himpit, badan yang sihat terasa sakit. 

Jadi di sini saya bawakan beberapa input adab bagi seorang pelajar kepada guru dan rakan-rakan sekeliling. Saya masukkan rakan-rakan sebab mereka juga merupakan guru ketika kita tidak memahami sesuatu perkara. Sebagai contoh; kita kadang-kadang malu dan segan bertanya di dalam kelas, jadi di rumah, rakanlah yang menjadi guru, setiap pertanyaan dikemukakan A-Z. Namun kita sering lupa kawan itu juga guru malah lebih daripada itu. Sebuah kitab tawawuf yang dikarang oleh Sheikh Abdul Qadir Isa yang bernama ‘حقائق عن التصوف’.

Adab seorang murid kepada guru

Pertama : memberi salam (الاستسلام) kepada guru. Ini penting kerana apabila kita mengucapkan salam dengan lafaz ( السلام عليكم) ‘sejahtera ke atas kamu’ ia merupakan satu doa dan doa tersebut akan dikembalikan oleh guru dengan jawapan ( وعليكم السلام ) ‘ke atas kamu kesejahteraan’. Beruntunglah kita kerana didoakan oleh guru dengan kesejahteraan bukan kecelakaan. Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari; bahawa pada suatu hari ada seorang yahudi datang hendak berjumpa Nabi s.a.w. seraya memberi salam dengan sebutan buruk ( السام عليكم ) ‘celaka ke atas kamu’ maka Nabi s.a.w pun menjawab (وعليكم ) ‘dan ke atas kamu juga’, lalu Aisyah r.ha yang ada di sisi Nabi s.a.w. marah dan menjawab dengan lafaz ( وعليكم السام واللعنة  ) ‘ke atas kamu celaka dan laknat’. Perbuatan Aisyah r.ha di tegur Nabi s.a.w., selepas diterangkan oleh Aisyah r.ha, namun Nabi s.a.w. menjawab bahawa beliau sudah pun menjawabnya. 
Kedua : (عدم الاعتراض على شيخه في طريقة تربية مريديه) ‘ tiada bangkangan kepada guru ketika sesi pembelajaran’ kerana ini akan memberi kesan kepada murid itu sendiri. Antaranya (يضعف ثقته به) ‘kurang kepercayaan kepada guru’, (يحجب عنه خيرا كثيرا) ‘ menghijab kebaikan yang banyak daripada masuk dalam diri’ dan (يقطع الصلة القلبية ) ‘ memutuskan hubungan antara hati kita dengan guru’ ini lebih kepada sifat ikhlas itu berkurang dalam diri guru.

Ketiga : (صحبة الشيخ) ‘bersahabat dengan guru’. Beberkatan itu penting dalam menuntut ilmu, tanpanya hidup ini sia-sia. Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitab اداب الدنيا و الدين dia menyatakan bahawa “seorang murid yang ingin berjaya dalam sesuatu bidang hendaklah dia mendapat perhatian guru dan merendah diri”. Menjadikan guru ibarat teman rapat kita dalam bertanya. Dr. Zulkifli al-Bakri pernah ditanya seorang rakan saya tentang mampukan pelajar IPTA bergelar ulama’. Dia menjawab “ tidak boleh, melainkan pelajar tersebut membuat dua perkara penting, pertama; (صحبة الشيخ), kedua ; (كثرة القرأة ) ‘banyak membaca’.

Keempat : (تعظيم الشيخ وحرمته حاضرا و غائبا) ‘membesarkan guru dan menghormatinya ketika dia ada ataupun tiada disisi kita’. Seorang ulama’ tasawuf bernama ابرهيم بن شيبان القرميسيني dalam kitabnya طبقات الصوفية (من لم تُرضِهِ أوامر المشايخ وتأديبهم فإنه لا يتأدب بكتاب ولا سنة) ‘barang siapa yang tidak diredhainya segala suruhan gurunya dan tidak mengamalkannya maka dia seolah-olah tidak beradab kepada Quran dan Sunnah’. Guru tasawuf ulung الشيخ عبد القادر الجيلاني di dalam kitab مدارج السلوك إلى ملك الملوك penulisnya  الشيخ ابو بكر بن محمد بناني الشاذيلى menyatakan ( من وقع في عرض وليٌّ ابتلاه الله بموت القلب) ‘Siapa yang dalam dirinya sifat menentang wali atau guru, maka ALLAH s.w.t datangkan bala kepadanya dengan dimatikan hatinya’. نعوذ بالله من ذلك. Moga kita dijauhkan daripada bala ini kerana ilmu susah dan payah hendak memasuki bagi hati yang telah mati.

Adab murid bersama rakannya

Pertama : ( حفظ حرمتهم غائبين أو حاضرين و نصيحتهم بتعليم جاهلهم و إرشاد ضالهم و تقوية ضعيفهم) ‘ menjaga kehormatan maruahnya samaada ketika ada atau tiada disisi kita, menasihati mereka akan perkara yang mereka belum tahu, menunjuki mereka sekiranya mereka tersesat, menguatkan diri mereka jika mereka hilang semangat’. Alhamdulillah, sekiranya kita mempunyai rakan dan sahabat seperti ini. Mari kita perbaiki balik diri kita daripada sifat-sifat mazmumah kita dulu. Saya menulis ini adalah salah satu cara saya ingin ubah diri. Biar sedikit perubahan tetapi berterusan. Sekiranya dulu kita mempunyai 7 perkara dosa yang sering kita lakukan. Maka kurangkanlah kepada 4 perkara sahaja mengikut kemampuan kita. Manusia tidak boleh ubah secara drastik kerana ia sementara. Dulu awalnya saya sedikit keras dalam hendak mengubah sesuatu, rupanya silap atas kelemahan saya. Manusia kena diberi keyakinan untuk berubah walau sedikit. Saya bawakan satu cerita tentang seorang emak yang datang kepada seorang ustaz. “Terima kasih ustaz, anak saya yang perempuan tu dah mula solat bila dengar ustaz ceramah”. Ustaz ; “ Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH kerana memberinya hidayah”. “Tapi ustaz dia masih tak pakai tudung dan baju ketat bila keluar rumah”. Ustaz ; “Puan, tanda manusia itu sudah berada di hatinya iman sekiranya mereka mengurangkan dosa yang menjadi kebiasaan setiap hari. Kita tidak boleh keras kerana perubahan dengan hati yang rela itu lebih besar impaknya berbanding paksaan walaupun ia benar. Insyallah, suatu hari nanti dia akan memakai pakaian muslimah sejati, amin”. 

Kedua : (التواضع لهم والإنصاف معهم وخدمتهم بقدر الأمكان) ‘merendah diri kepada mereka, adil dengan mereka dan bekhidmat atau tolong mereka sekadar boleh’. Daripada ابي قتادة رضي الله عنه Nabi s.a.w. bersabda “سيد القوم خادمهم” ‘ Ketua bagi kamu adalah orang yang berkhidmat kepada kamu’. (اخرجه ابن ماجه والترميذي). Seorang ketua perwakilan daripada Iraq iaitu Akhnaf bin Qais datang kepada Umar r.a yang sedang berada di Madinah. Ketika itu musim panas, Akhnaf mengenakan pakaian berbulu tebal untuk menyerap kepanasan. Umar r.a. berkata “wahai Akhnaf, tanggalkan pakaianmu dan ke sini, tolong aku angkat barang-barang ini untuk dihantar kepada fakir miskin, janda-janda, anak-anak yatim dan rakyat.” Seorang daripada pembesar berkata kepada Umar r.a. “Wahai Amirul Mukminin, semoga ALLAH mengampunimu, tak perlulah engkau yang angkat, cukup sekadar engkau menyuruh hamba-hamba itu yang angkat”. Balas Umar r.a. “(اي عبد هو عبّد مني و من احناف) ‘mana satu hamba yang lebih hamba daripada aku dan akhnaf’. Ayat Umar r.a. menunjukkan sifat kepimpinan dan tawaduk beliau dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin sepertimana sabdaan baginda sebelum ini “سيد القوم خادمهم” ‘ Ketua bagi kamu adalah orang yang berkhidmat kepada kamu’. 

Ketiga : (الحسن الظن وعدم الانشغال بعيوبهم) ‘bersangka baik dan tidak sibuk dengan aib seseorang. Seperti mana ALLAH berfirman di dalam surah al-Hujurat ayat 12 : “Wahai orang-orang yang beriman jauhkanlah dirimu daripada banyak berprasangka, kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan jangan mengumpat sebahagian kamu ke atas sebahagian yang lain, adakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaramu yang telah mati, tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha penerima taubat dan Maha Mengasihani”.

Keempat : (قبول عذرهم إذا اعتذروا) ‘terimalah maaf mereka jika mereka minta maaf’. Alangkah indahnya perkerti seseorang yang memaafkan rakannya disebabkan kasih dan sayang kepada rakan. Teorinya begini, hari-hari kita minta ampun dengan ALLAH atas kesilapan kita. Untuk menjadi hamba yang ingin dekat dengan ALLAH sentiasa ingin bermujahadah dalam mengikuti sifat-sifat ALLAH iaitu Yang Maha Mengasihani. Jadi maafkanlah mereka kerana tidak mustahil suatu hari kita pula yang minta maaf kepada mereka atas kecuaian kita.

Kelima : (أن لا يطلب الرئاسة التقدم عليهم) ‘tidak meminta dijadikan ketua keatas mereka’. Ini sejajar dengan قاعدة الفقهية yang menyatakan bahawa (طالب الولاية لا يولِّى) ‘peminta dijadikan pemimpin tidak boleh meminpin’. Ini berkisar ketika zaman Umar r.a. menjadi khalifah. Lalu datang seorang kepada Umar r.a. untuk memilihnya menjadi gabenor Kufah pada ketika itu. Maka Umar r.a. menolak permintaan tersebut dengan قاعدة الفقهية ini. 

Cukup sekadar ini sahaja perkongsian saya, insyallah di lain masa kita bertemu dengan perkongsian yang mudah-mudahan ada keberkatan disebaliknya. Doakan saya menjadi insan yang soleh dan berjaya disisi ALLAH. Begitu juga kalian. Amin. Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsi idea murni anda di sini :)

Mahukan bantuan! Apa masalah paling susah diselesaikan?