"Kurang-kurangkanlah daripada suka mengkritik orang, kerana kita kadang-kadang tidak sedar makhluk yang kita kritik diciptakan oleh ALLAH yang maha bijaksana, secara tidak langsung kita mengkritik ciptaan-NYA.Renungkan."

Kesempurnaan Keislaman (Part 1)


Salam tuan dan puan yang disayangi dan dikasihi. Alhamdulillah syukur kepada ALLAH kerana memberikan ruang dan peluang untuk kita sama-sama lagi membaca, menulis dan mendengar segala input yang baik. Disebabkan hidayah ini juga kita dianjurkan supaya membaca doa daripada al-Quran  yang sudah biasa kita amalkan dalam masyarakat kita daripada surah Ali Imran : 3 : 8.



“ Wahai Tuhan kami janganlah kamu pesongkan hati-hati kami selepas Engkau beri kami petunjuk dan kurniakanlah kepada kami daripada sisi-Mu rahmat, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi”

Menurut sebuah hadis riwayat Ahmad, al-Nasa’ei, Ibn Majah dan al-Hakim yang dianggap sohih, Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya : ‘Al-Mizan itu berada di tangan ALLAH. Dia akan meninggikan sebahagian golongan dan merendahkan yang lain sehingga ke hari kiamat. Hati manusia berada antara dua jari Allah Al-Rahman. Jika dikehendaki Dia akan menjadikannya istiqamah dalam kebenaran dan jika dikehendaki akan disesatkannya’.

Syukur kita dilahirkan islam. Buka-buka mata sudah diazankan. ALLAH sudah takdirkan kita ini muslim, namun untuk mencapai kesempurnaan seorang muslim kita perlukan beberapa peringkat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w.

Di sini saya ingin kongsikan daripada kitab الأربعون النووية karangan Penghidup Agama al-Imam Nawawi rahimahullah. Hadis ke-12 ; bab ‘kesempurnaan islam seseorang’. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

مِنْ حُسْنِ اِسْلَامِ الْمَرْءِ ، تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيْهِ

Maksudnya: “Sebahagian daripada baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”
(Riwayat al-Tirmizi no. 2318, Ibn Majah no.3976, Ahmad no.1732 dan al-Baihaqi)

Hadis ini kalimatnya pendek tapi membawa maksud yang padat bagi sesiapa yang meneliti. Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati ALLAH, kita ini semenjak kecil hingga dewasa pelbagai perkara telah kita lakukan. Disini saya ingin mengajak diri saya dan kalian semua supaya kita teliti balik, hari ke hari, masa ke masa, berapa banyak amalan kebaikan yang kita ingin persembahkan di hadapan ALLAH nanti. Yakinkah kita, segala kebaikan yang kita persembahkan itu lebih banyak daripada kejahatan dan kemaksiatan yang kita lakukan. Justeru itu, Rasulullah s.a.w. sering mengingatkan kita tentang harga sebuah masa. Dunia penting, akhirat juga penting. Dunia adalah tepat bercucuk tanam manakala akhirat tempat menuainya.

Sepertima kata seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w.,  Abu Dzar r.a. yang bermaksud :
“Sesiapa yang menilai ucapan dengan perbuatannya, maka dia akan sedikit bicara dalam hal yang tidak berguna.”

Di sini saya bawakan beberapa contoh seseorang yang inginkan kepada kesempurnaan keislaman itu tersemat padat dalam dirinya. Pertama; fikirkan tentang perkara yang mulia. Sesuatu perkara yang ingin kita lakukan hendaklah mengikut kepada kemampuan kita. Islam tidak rigid, syadid, payah dan susah untuk diamalkan sekiranya kita mengetahui cara dan bagaimana melakukannya. Sebagai contoh amalan memberi salam kepada ibu bapa, guru, rakan, jiran, orang yang lebih tua dan semua umat islam. Perbezaan (السلام عليكم) dengan ( السام عليكم) ‘samekom’ yang menjadi kebiasaan anak-anak kecil memberi salam telah saya perjelaskan dalam artikel ‘kita kena ubah adab kita’. Selain memberi salam kita terlalu digalakkan untuk berjabat tangan sesama kita. Seperti mana saranan Rasulullah s.a.w.:

تَصَافَحُوْا يَذْهَبُ الغِلُّ وَتَهَادُّوْا تَحَابُّوْا وَتَذْهَبُ الشَحْناَءُ

Maksudnya: “Berjabat tanganlah (nescaya akan hilang) kedengkian (dalam hati), dan berilah hadiah (nescaya) kamu akan saling berkasih sayang dan (akan hilang) permusuhan.”

Kedua;  Cuba jauhkan diri daripada perkara yang hina dan keji. Allah dan Rasulullah s.a.w. banyak kali menasihati hambanya yang inginkan keredhaan dan kerahmatan Allah. Maaf saya kata ramai dikalangan kita yang mungkin alpa memandang kecil soalan itu mengumpat. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Hujurat : ayat 12.



Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada banyaknya buruk sangka, sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah diantara kamu yang mengumpat sebahagian ke atas sebahagian yang lain. Adakah ada dikalangan kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?, Sudah tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Pengasih.”
“(اسباب النرول) ‘sebab turun ayat’ ini mengikut Ibn Munzdir daripada Ibn Juraij bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Salman Al-Farisi yang makan, kemudian tidur lalu berdengkur. Orang-orang berbual-bual (gosip)  tentangnya. Maka turunlah ayat ini melarang umat islam mengumpat.”

Dalam ayat ini Allah hendak beritahu dekat kita tantang perihal orang yang mengumpat. Perumpamaan memakan daging saudara sendiri merupakan perbuatan luar tabi’e seorang manusia yang berakal waras. Kita tidak merasakan sesuatu itu salah dan mudarat sekiranya kita tidak mendapat musibah dalam bentuk zahiri atau realiti. Mengikut kajian yang dibuat orang yang sering mengumpat lebih mudah mendapat penyakit dalaman. Misalan penyakit jantung, darah tinggi dan sebagainya. Bila diselidik dengan ayat surah al-Hujurat ini maka kajian tersebut mendapati bahawa, penyakit yang mereka ada bersangkut paut dengan Firman Allah s.w.t. Adakah ada dikalangan kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?, Sudah tentu kamu merasa jijik”. Mana tidak banyak penyakit datang kepada kita, jika inilah perumpaan yang Allah s.w.t. berikan kepada hamba-Nya. Satu benda yang kita perlu tahu, kebiasaannya orang yang banyak mengumpat, akan selalu diumpat oleh rakan yang lain.

Boleh bercakap, tapi selidiki adakah apa yang kita cakap itu termasuk umpatan ataupun tidak. Ini sejajar dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ...
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Al ah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam…
(Riwayat al-Bukhari, no.5672 dan Muslim, no.47)

Firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “ Apa pun kata yang terucap pasti disaksikan ole Raqib dan Atid.
(Surah Qaf 50 : 18)

Alhamdulillah cukuplah sekadar dua input dulu untuk kita cuba amalkan bersama. Kerana perubahan yang mendadak kebiasaannya tidak menjamin kesedaran dan nilai istiqamah. Biar kita amalkan apa yang kita mampu amalkan. Jangan paksa diri untuk lakukan semua amal kebaikan yang di sarankan, cukuplah sedar mengambil dua atau tiga sebagai permulaan. Insyallah, kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya ditetapkan iman dan semangat untuk berubah. Amin. Sekian dulu dari pada saya tersalah fakta dan ejaan mohon dimaafkan. Wallahualam.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsi idea murni anda di sini :)

Mahukan bantuan! Apa masalah paling susah diselesaikan?