"Kurang-kurangkanlah daripada suka mengkritik orang, kerana kita kadang-kadang tidak sedar makhluk yang kita kritik diciptakan oleh ALLAH yang maha bijaksana, secara tidak langsung kita mengkritik ciptaan-NYA.Renungkan."

KESEMPURNAAN KEISLAMAN PART 2



Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana memberi kita peluang dan ruang untuk kita meluangkan sedikit masa untuk kita membaca, menilai, merenung kembali apa yang telah kita pergunakan segala nikmat yang diberi Allah. Kalau elok, alhamdulillah. Kalau kurang elok, marilah kita sama-sama perbetul bersama-sama.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahlinya. Hari ini saya ingin menyambung sedutan yang lepas berkaitan kesempurnaan keislaman part 1. Moga-moga artikel kali ini dapat memberi sedikit input berguna untuk kita praktikkan. Perubahan yang sedikit itu lebih memberi impak yang besar jika berterusan berbanding perubahan yang besar yang sementara dan seketika sahaja.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Abdul Rahman bin Shakhr r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ؛ فَاجْتَنِبُوْهُ. وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ؛ فَأْتُوْا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ. فَاِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ، كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ.
Maksudnya: “Apa pun yang saya larang kamu lakukan, maka jauhilah; dan apa pun yang saya perintahkan kamu lakukan, maka kerjakanlah sekadar kemampuanmu. Sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh”.
(Riwayat al-Bukhari, no. 6777 dan Muslim, no.1337)

Hadis yang saya petik daripada kitab الاربعون للنووية karangan Imam Nawawi rahimahullah ini adalah kesinambungan daripada peristiwa seorang sahabat nabi yang bernama Al-Aqra bin Habis r.a. Ketika Rasulullah s.a.w. berkhutbah dihadapan para sahabat. Baginda lantas bersabda “ Wahai manusia, Allah telah mewajibkan ke atas kamu haji, kerana itu berhajilah.” Al-Aqra’ bin Habis bertanya : ‘Wahai Rasulullah, adakah setiap tahun?’ Baginda diam. Soalan itu berulang sehingga tiga kali lalu Nabi s.a.w. menjawab : ‘ Kalau aku katakan ya, nescaya menjadi wajib sedangkan kamu tidak akan sanggup melakukannya.’

Kesempurnaan Keislaman (Part 1)


Salam tuan dan puan yang disayangi dan dikasihi. Alhamdulillah syukur kepada ALLAH kerana memberikan ruang dan peluang untuk kita sama-sama lagi membaca, menulis dan mendengar segala input yang baik. Disebabkan hidayah ini juga kita dianjurkan supaya membaca doa daripada al-Quran  yang sudah biasa kita amalkan dalam masyarakat kita daripada surah Ali Imran : 3 : 8.



“ Wahai Tuhan kami janganlah kamu pesongkan hati-hati kami selepas Engkau beri kami petunjuk dan kurniakanlah kepada kami daripada sisi-Mu rahmat, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi”

Menurut sebuah hadis riwayat Ahmad, al-Nasa’ei, Ibn Majah dan al-Hakim yang dianggap sohih, Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya : ‘Al-Mizan itu berada di tangan ALLAH. Dia akan meninggikan sebahagian golongan dan merendahkan yang lain sehingga ke hari kiamat. Hati manusia berada antara dua jari Allah Al-Rahman. Jika dikehendaki Dia akan menjadikannya istiqamah dalam kebenaran dan jika dikehendaki akan disesatkannya’.

Syukur kita dilahirkan islam. Buka-buka mata sudah diazankan. ALLAH sudah takdirkan kita ini muslim, namun untuk mencapai kesempurnaan seorang muslim kita perlukan beberapa peringkat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w.

Di sini saya ingin kongsikan daripada kitab الأربعون النووية karangan Penghidup Agama al-Imam Nawawi rahimahullah. Hadis ke-12 ; bab ‘kesempurnaan islam seseorang’. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

مِنْ حُسْنِ اِسْلَامِ الْمَرْءِ ، تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيْهِ

Maksudnya: “Sebahagian daripada baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”
(Riwayat al-Tirmizi no. 2318, Ibn Majah no.3976, Ahmad no.1732 dan al-Baihaqi)

Kita kena UBAH adab kita...Jom!!!



Salam rakan dan taulan yang dikasihi dan dihormati. Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH s.w.t. kerana masih lagi diberi ruang dan kehidupan untuk menulis coretan artikel. Syukur juga dirafa’kan kepada ALLAH s.w.t. kerana memberi kembali semangat menulis di blog ini setelah lama menyepi. Rentetan daripada kelas tasawuf pada nian pagi hari tadi, saya terpanggil untuk berkongsikan kepadas kalian rakan blogger berkaitai “Adab seorang pelajar”.
Saban tahun berlalu, kita tetap bersikap yang sama selagi mana kita tidak mahu mengubahnya. Walau hebat mana tokoh motivator ia tidak mampu mengubah seseorang jika kesedaran hanya seketika. Biar cakap berapi dan berasap, belum tentu dapat membakar semangat. Pokok semua masalah ini adalah kembali kepada adab kita terhadap orang yang disekeliling. Tinggi mana bukit kita mendaki, luas mana hutan kita terokai, besar mana lautan kita renangai, langit mana yang tinggi kita tembusi, jika adab diketepi usah jadi manusia sejati, sia-sia belajar IPT, sia-sia berilmu tinggi, jika hidup tidak diberkati.

Itulah senario yang berlaku masa kini, kadang-kadang apa yang dikejar itu bagus tapi tanpa persiapan yang lengkap kita mudah tergelincir ditepi jalan, ibarat belajar, belajar itu bagus untuk dapat ilmu, tapi jika persiapan kerohanian diri tidak diambil, takut-takut ilmu itu memudaratkan kita. Contoh senang, kita belajar, kita berjaya,kita  kerja, tapi dalam masa yang kita mengecilkan hati guru semasa kita belajar. Kesannya kita akan merasai semasa di alam pekerjaan. Gaji yang banyak terasa sikit, rumah yang besar terasa sempit, bagai hidup dihimpit-himpit, badan yang sihat terasa sakit. 

Jadi di sini saya bawakan beberapa input adab bagi seorang pelajar kepada guru dan rakan-rakan sekeliling. Saya masukkan rakan-rakan sebab mereka juga merupakan guru ketika kita tidak memahami sesuatu perkara. Sebagai contoh; kita kadang-kadang malu dan segan bertanya di dalam kelas, jadi di rumah, rakanlah yang menjadi guru, setiap pertanyaan dikemukakan A-Z. Namun kita sering lupa kawan itu juga guru malah lebih daripada itu. Sebuah kitab tawawuf yang dikarang oleh Sheikh Abdul Qadir Isa yang bernama ‘حقائق عن التصوف’.

Adab seorang murid kepada guru

Pertama : memberi salam (الاستسلام) kepada guru. Ini penting kerana apabila kita mengucapkan salam dengan lafaz ( السلام عليكم) ‘sejahtera ke atas kamu’ ia merupakan satu doa dan doa tersebut akan dikembalikan oleh guru dengan jawapan ( وعليكم السلام ) ‘ke atas kamu kesejahteraan’. Beruntunglah kita kerana didoakan oleh guru dengan kesejahteraan bukan kecelakaan. Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari; bahawa pada suatu hari ada seorang yahudi datang hendak berjumpa Nabi s.a.w. seraya memberi salam dengan sebutan buruk ( السام عليكم ) ‘celaka ke atas kamu’ maka Nabi s.a.w pun menjawab (وعليكم ) ‘dan ke atas kamu juga’, lalu Aisyah r.ha yang ada di sisi Nabi s.a.w. marah dan menjawab dengan lafaz ( وعليكم السام واللعنة  ) ‘ke atas kamu celaka dan laknat’. Perbuatan Aisyah r.ha di tegur Nabi s.a.w., selepas diterangkan oleh Aisyah r.ha, namun Nabi s.a.w. menjawab bahawa beliau sudah pun menjawabnya. 

Mahukan bantuan! Apa masalah paling susah diselesaikan?