"Kurang-kurangkanlah daripada suka mengkritik orang, kerana kita kadang-kadang tidak sedar makhluk yang kita kritik diciptakan oleh ALLAH yang maha bijaksana, secara tidak langsung kita mengkritik ciptaan-NYA.Renungkan."

KESEMPURNAAN KEISLAMAN PART 2



Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana memberi kita peluang dan ruang untuk kita meluangkan sedikit masa untuk kita membaca, menilai, merenung kembali apa yang telah kita pergunakan segala nikmat yang diberi Allah. Kalau elok, alhamdulillah. Kalau kurang elok, marilah kita sama-sama perbetul bersama-sama.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ahlinya. Hari ini saya ingin menyambung sedutan yang lepas berkaitan kesempurnaan keislaman part 1. Moga-moga artikel kali ini dapat memberi sedikit input berguna untuk kita praktikkan. Perubahan yang sedikit itu lebih memberi impak yang besar jika berterusan berbanding perubahan yang besar yang sementara dan seketika sahaja.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Abdul Rahman bin Shakhr r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ؛ فَاجْتَنِبُوْهُ. وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ؛ فَأْتُوْا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ. فَاِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ، كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ.
Maksudnya: “Apa pun yang saya larang kamu lakukan, maka jauhilah; dan apa pun yang saya perintahkan kamu lakukan, maka kerjakanlah sekadar kemampuanmu. Sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh”.
(Riwayat al-Bukhari, no. 6777 dan Muslim, no.1337)

Hadis yang saya petik daripada kitab الاربعون للنووية karangan Imam Nawawi rahimahullah ini adalah kesinambungan daripada peristiwa seorang sahabat nabi yang bernama Al-Aqra bin Habis r.a. Ketika Rasulullah s.a.w. berkhutbah dihadapan para sahabat. Baginda lantas bersabda “ Wahai manusia, Allah telah mewajibkan ke atas kamu haji, kerana itu berhajilah.” Al-Aqra’ bin Habis bertanya : ‘Wahai Rasulullah, adakah setiap tahun?’ Baginda diam. Soalan itu berulang sehingga tiga kali lalu Nabi s.a.w. menjawab : ‘ Kalau aku katakan ya, nescaya menjadi wajib sedangkan kamu tidak akan sanggup melakukannya.’

Kemudian Baginda bersabda: ‘Biarlah aku dengan apa yang aku diamkan, kerana kehancuran umat-umat terdahulu sebelum kami adalah kerana banyak bertanya dan membangkang nabi-nabi mereka. Maka jika aku perintahkan melakukan sesuatu, kerjakanlah menurut kemampuan kamu, tetapi jika aku melarang kamu melakukan sesuatu maka tinggalkanlah.

Senario pada masa kini adalah kita sering bertanya tentang sesuatu soalan yang kalau diperincikan akan lebih menyusahkan kita. Analogi mudah saya boleh bawakan seperti seorang ibu menyuruh anaknya membeli apa-apa jenis ikan untuk digoreng. Disebabkan kita terlalu prihatin lalu kita pun bertanya: ‘ikan jenis apa, kecik ke besar, mak?’. Emak pun berkata: ‘ apa-apa je asal boleh makan’. Si anak bertanya lagi: ‘ ikan laut ke ikan sungai’. Si emak yang rasa tidak mahu diganggu menjawab: ‘ iman pergi kedai Pak Abu beli ikan Selar Itam, panjang sehasta, beli 1 kg…bla bla bla.’ Nampak tak situasinya, pada asalnya Iman tidak dikenakan apa-apa syarat. Sekarang ia menjadi susah kepada Iman untuk mengenal dan membeli ikan yang diperincikan emaknya. Walhal jika dia tidak bertanya ia lebih mudah, pilih je ikan apa pun, asal ikan.

Sepotong ayat Al-Quran, Allah berfirman :

يَاَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لَا تَسْئَلُوْا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَلَكُمْ تَسُؤْكُمْ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanya tentang sesuatu yang jika dijelaskan kepada kamu, akan menyusahkan kamu.
(Surah al-Ma’idah 5:101)

Simbolik daripada ayat ini juga, Allah s.w.t. hendak memberi tahu hambanya bahawa apa yang didiamkan itu merupakan rahmat daripada Allah kepada manusia. Manusia diberi pilihan yang pelbagai dalam mengamalkan islam. Pelbagai cara dan kaedah yang digunapakai oleh para ulama’ yang berbeza kaedahnya. Ali mendapat ketenangan hati dengan baca quran, ahmad dengan baca hadis Nabi s.a.w., zaid dengan berzikir, karim dengan membaca kisah sahabat, lutfi dengan mengikut sunnah Nabi s.a.w. daripada segi pakaian, pertuturan dan perlakuan.

Kita dijadikan berbeza-beza, apa yang menjadi keutamaan adalah buat apa yang kita mampu. Kurangkan daripada terlalu banyak bercita-cita dan berhayal. Realiti kita adalah apa yang kita sedang lakukan. Jika anda ingin berjaya dalam perniagaan, tidak cukup dengan berhayal dan bermimpi, perlukan langkah yang pertama. Anda tidak akan sampai ke hujung garisan jika anda tidak mula dengan langkah di garisan mula. Tidak perlu berangan nak ubah dunia, jika diri tidak mampu diubah. Mulakan dengan apa yang kita mampu buat. Semua peringkat umur memainkan peranan masing-masing. Bertindak berdasarkan tahap diri kita. Jika kita pelajar(peringkat pertengahan) bertindak cara pelajar bukan melangkah terus ke atas. Mana mungkin seorang yang berada ditingkat satu apabila menaiki tangga sampai tingkat 10 terus tanpa melepasi tingkat dua.


Semangat itu bagus, tetapi biarlah berpijak di bumi yang nyata. Gunakan peranan kita sebaiknya. Misalnya tugas kita sekarang adalah menuntut ilmu. Menuntut ilmu juga satu perjuangan. Tanpa ilmu bangsa kita tidak kemana. Jika kita lihat sesebuah tamadun dunia itu meningkat dengan adanya ilmu yang tiada pada tamadun lain. Tamadun Islam juga melonjak tinggi dengan ramainya ulama’ (orang yang berilmu). Adakah mereka ini semua tiba-tiba jadi pandai. Jawapannya tidak. Mereka perlukan step-by-step untuk jadi ulama’. Mengikut kata Sun Tzu seorang pahlawan Tamadun China di dalam buka Art of war. ‘The highest form of warfare is to attack strategy itself’ tahap tertinggi dalam peperangan adalah menyerang stategi musuhnya. Persoalannya bagaimana nak serang strategi, tidak lain hanya dengan ilmu.

Dia juga berkata ‘I have heard that in war, haste can be folly, but have never seen delay that was wise’. Aku pernah mendengar didalam perang bahawa terburu-buru merupakan satu kebodohan, tetapi tidak pula aku lihat bahawa menangguhkan itu satu perkara yang bijak. Konsep kederhanaan telah diamalkan berabad-abad tahun lampau. Mengapa kita terlalu agresif alasan kerana ingin melihat satu perubahan secara mendadak.

Jika kita melihat daripada sudut pandangan islam, saya petik sebuah kaedah daripada قواعد الفقهية dalam bab  الامور بمقاصدها.

مَن اسْتِعْجَلَ الشَيْئ قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ
Maksudnya: Bagi sesiapa yang terburu-burukan (melakukan) sesuatu sebelum masanya, balasannya haram memilikinya (tidak akan dapat apa yang cuba disegerakan).


Kesimpulan artikel kali ini adalah lakukan sekadar kemampuan kita, Islam menyuruh kita meninggalkan apa yang diharamkan dan buat apa yang wajib. Manakala bab yang lebih kepada muamalat terserah kepada kita. Jangan merasa terlalu berat hendak mengamalkannya. Jika hari ini kita berjaya mengamalkan walau satu sunnah nabi itu sudah cukup baik berbanding tidak mengamalkan. Makan tangan kanan, selalu beri salam dan berjabat tangan, senyum, kurang marah, banyak cakap benda baik daripada buruk, berjalan dengan hati ingat Allah sudah memadai bagi sesiapa yang ingin bermula hendak memetik benih iman dalam hati. Tidak perlu kepada benda-benda yang berat untuk diamalkan. Insyallah kita sama-sama mengamalkannya amin.  والله اعلم بصواب.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsi idea murni anda di sini :)

Mahukan bantuan! Apa masalah paling susah diselesaikan?