Salam kunjungan bagi rakan yang baru menemui ruangan Tazkirah Kejap. Setelah bertahun menyediri tidak menulis, hati tetap berbicara ‘tulislah..tulislah…tulislah’ agar diri ini sentiasa teringatkan siapakah diri kita ini. Hari ini TK hendak bawakan sebuah entri bertajuk Lemahkah Aku dalam keluarga lanjutan Atok sudah berpesan.
Dahulu TK seorang yang biasa dan suka kepada hiburan. Maklumlah masih kecil seusia sekolah rendah. TK tidak mengerti apa erti kehidupan. Kenapa kita perlu hidup. Adakah untuk makan supaya kenyang. Adakah untuk minum supaya hilang haus. Adakah untuk bermain dengan rakan-rakan supaya hilang kedukaan atau kesedihan. Namun fikiran selalu mengiakan walaupun hati berkata ‘tidak’.
Tajuk entri ini berkisar tentang TK di waktu kecil. Dahulu TK selalu rasa lemah sangat dalam belajar. Selalu kena marah. Tetapi sifat TK suka menyembunyikan perihal keadaan yang berlaku kepada diri. Contohnya kalau periksa keputusan tidak baik, TK suka merahsiakan daripada ibu bapa kerana takut kena marah.
Suatu hari TK bertekad untuk ubah hidup yang selama ini ingai main sahaja. TK berubah melalui keinginan diri TK tanpa orang suruh untuk berubah. Seingat TK seawal usia 12 tahun TK sudah mula berfikir ‘apa nak jadi dengan aq ni’. Bermula dengan persoalan TK mencari jawapan agar hidup ini berubah. Pertama sekali TK ubah persepsi daya pemikiran TK.
“Kalau dulu aku lemah, aku akan berjaya selepas ini kerana tidak ada manusia yang ditakdirkan untuk sentiasa gagal dan lemah.”
“Kalau dulu aku lemah Bahasa Inggeris (contoh) , sebenarnya ‘TIDAK’, aku adalah orang yang pandai berbahasa Inggeris”
“Kalau dahulu aku bangun tidur ‘site mind’ aku budak yang lemah, sebenarnya ‘SILAP’, aku adalah orang yang hebat dan cemerlang.”
Rentetan itu, TK menemui jalan supaya ubah dahulu keputusan peperiksaan TK. Bertekad untuk menggembirakan hati ibu dan ayah akhirnya TK bermula menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Akhirnya TK berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dan terpilih sebagai pelajar terpilih sekolah.
Bermula daripada peristiwa itu, TK yakin Allah s.w.t. telah memberi ruang kepada TK untuk mencari ilmu yang luas. Sukar dipercayai seorang budak yang nakal semasa kecilnya meminta daripada ayahnya supaya dimasukkan ke Sek. Men. Agama Parit Raja. Sebuah sekolah yang terdapat berbelas matapelajaran yang penuh berbahasa arab. TK sebenarnya pun tidak tahu kenapa sekolah agama menjadi pilihan sedangkan rakan-rakan TK memilih MRSM dan sekolah berasrama penuh. Berbekalkan semangat untuk berubah akhirnya TK mengorak langkah dalam bidang ilmu agama.
Sekali lagi TK diuji, semua rakan-rakan memberi persepsi negative kepada sekolah arab. Mereka kata TK hanya bertahan sebulan sahaja di situ. Ada pula yang kata belajar agama boleh jadi ustaz je. Nasib baik tidak ada yang kata sekolah arab tiada harapan. Syukur Alhamdulillah TK berjaya meneruskan hasrat hati TK itu. Tiga tahun belajar TK berjaya mendapat keputusan 8A dalam PMR (bukan hendak riak) membuktikan kepada rakan-rakan TK bahawa sekolah agama mampu berjaya seperti aliran kebangsaan walaupun kami mengambil 19 subjek (campur subjek bahasa arab).
Sekali lagi Allah s.w.t. memberi cabaran kepada TK untuk berpindah atau tidak daripada sekolah agama TK. Ibu ada menawarkan sekiranya TK berkehendakkan MRSM tiada menjadi halangan untuk TK berpindah. Tetapi setelah difikirkan sayang pula ilmu agama yang dipelajari, lalu tidak tetap meneruskan bidang agama ini.
Ibu selalu berpesan jangan hanyut dengan percintaan kerana ia akan melalaikan kita. Ayah pula menambah ‘jangan sampai masuk angin’. Memang tidak dapat dinafikan bahawa memang ramai perempuan yang Allah s.w.t. untuk menjadi peminat. Teringatkan pesan ibu dan ayah, TK hanya jadikan mereka kawan sahaja supaya tidak menjadi pasangan. Ibu dan ayah selalu pesan bila sudah berjaya jangan lupa orang, ajarkan ilmu kerana ilmu itu akan bertambah jika disebar.
“Orang akan ingat kita sehari atau dua hari, jika kita beri dia wang tapi orang akan ingat kita sampai mati, jika kita beri dia ilmu.”
“Duit boleh habis jika digunakan, tetapi ilmu akan bertambah jika digunakan untuk kebaikan orang.”
Seronok kalau kita boleh memahamkan orang tentang sesuatu perkara. Ibarat kita mencari sebutir gula di dalam pasir, bila sudah ditemui akan terasa kemanisan jika dijilat. Begitulah mengajar orang, jangan mengeluh dengan kesusahan mengajarnya tapi ingatlah kefahaman mereka kepuasan kita. Ayah selalu pesan, cara terbaik hendak ingat apa yang kita belajar adalah mengajar apa yang kita dapat. Walaupun sedikit.
Getaran SPM semakin hampir, TK gunakan segala formula yang diberikan untuk mempraktikkan dalam pembelajaran. Alhamdulillah TK beroleh hasil yang Allah s.w.t. kurniakan. Keputusan 10a dalam SPM bukanlah satu kejayaan semata-mata tetapi dugaan dan cabaran daripada Allah s.w.t. kepada TK. Teringat ibu dan ayah berpesan, jangan riak dan sombong dengan keputusan kerana itu adalah pemberian Allah s.w.t. kepada kita. Kita telah dipilih sebagai pemagang amanah untuk kita terus menyebarkan ilmu.
“Ilmu ini milik Allah s.w.t. kita hanya diberi pinjam untuk kita manfaatkan kepada orang lain, bukan untuk ditayang atau berdebat hendak menunjukkan kepandaian yang sementara.”
“Tidak berguna kita berbalah perkara perjuangan yang sama ke arah yang satu (agama islam), jika umat sekarang semakin hancur dibelenggu kemaksiatan.”
Rentetan itu, TK meneruskan pembelajaran di Universiti Sains Islam Malaysia selepas mendapat Sijil Tinggi Agama Malaysia di High Arabic School (Maahad Johor). Mengambil kos Fiqh dan Fatwa di bawah Fakulti Syariah dan Undang-undang untuk meneruskan pencarian ‘kenapa kita hidup di dunia??”..
Akhir daripada TK, jika kita gagal hari ini, kita tidak keseorangan kerana ramai lagi yang gagal dalam hidup. Justeru itu, kita masih mempunyai peluang untuk kita tingkatkan nilai hidup dengan maju setapak daripada mereka yang terus gagal. Buatlah keputusan sekarang kerana keputusan sekarang menentukan kita berjaya atau terus gagal dalam kehidupan.
Andai kita telah berjaya, jangan lupa pada mereka yang gagal. Bawalah mereka supaya berjaya seperti kita. Percayalah bahawa mereka itu akan sentiasa mengingati dan mendoakan kita kerana kita asbab kejayaan mereka. Sekian Wasalam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsi idea murni anda di sini :)